Itu gambaran mengenai jenayah yang dilakukan dua sahabat, Jon Venables dan Robert Thompson ke atas rakan sebaya yang juga berusia 10 tahun, James Patrick Bulger.
Dalam kejadian pada 14 Februari 1993 di Bootle, Liverpool, England, mayat Bulger ditemui terputus dua akibat digilis kereta api.
Sebelum itu, mangsa teruk didera, diseksa selain mengalami penderaan seksual. Dilaporkan ada 42 kesan luka di bahagian muka, badan dan kepala.
Antara seksaan yang dialami, Bulger dibaling dan dipukul dengan batu dan besi, ditendang, dilempar cat dan kasut serta bateri bersaiz kecil dimasukkan ke dubur dan mulutnya.
Selepas melalui detik memeritkan, Bulger yang ketika itu masih bernyawa diletakkan di landasan kereta api, malah bongkah batu turut diletakkan di kepalanya bagi mengelak mangsa menyelamatkan diri.
Selepas melakukan jenayah, sama ada Venables atau Thompson, mereka berlagak seperti tiada apa berlaku, malah pulang ke rumah dalam keadaan gembira dan ceria.
Dalam satu laporan menyatakan kejadian itu berlaku dalam tempoh empat jam selepas dia diculik di pusat beli-belah New Strand pada 12 Februari 1993 sebelum ditemui di landasan kereta api Bootle, dua hari kemudian.
Bulger diculik ketika dia bersama ibunya, Denise yang ketika itu membeli daging. Kejadian itu tidak disedari sesiapa, tetapi berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah berkenaan.
Bulger dibawa sejauh empat kilometer dari lokasi dia diculik. Sepanjang perjalanan, ada saksi mendakwa mangsa dipukul, ditendang di perut dan ditampar. Di satu terusan, mangsa ditolak sehingga terjatuh yang menyebabkan dahi serta mukanya cedera.
Dalam satu program televisyen melaporkan, kanak-kanak itu dilihat sekurang-kurangnya 38 orang yang menyatakan ada ketika mereka gembira, ketawa dan juga bertindak ganas.
Setibanya di stesen kereta api di Bootle, bermulalah penderaan kejam ke atas mangsa. Seorang daripada mereka mencampakkan tin cat berwarna biru mengenai muka Bulger.
Kemudian, mangsa dibaling batu, besi, ditendang, ditumbuk dan diketuk dengan objek keras. Bulger turut dibogelkan sebelum diikat dan diletakkan di atas landasan kereta api dengan tujuan kejadian itu dilihat seperti satu kemalangan.
Laporan kehilangan Bulger dibuat, namun pihak berkuasa gagal menemui mangsa sehingga kemalangan yang berlaku di landasan kereta api Bootle dilaporkan.
Pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati kanak-kanak malang itu menemui ajal sebelum dia digilis kereta api.
Sementara itu, dilaporkan selepas selesai ‘tugas’ berkenaan, Venables dan Thompson pulang ke rumah masing-masing seperti biasa. Pada hari itu, mereka berdua ponteng sekolah dan kemudian merancang ke pusat beli-belah New Strand.
Di sekolah, kedua-duanya terkenal sebagai kaki ponteng, selain sering terbabit dalam masalah disiplin. Venables misalnya suka mengganggu pelajar lain dan tidak suka duduk di dalam kelas, sementara Thompson yang agak pendiam suka menipu dan mengambil kesempatan ke atas orang lain.
Sehari sebelum menculik Bulger, Venables dilaporkan bertindak ganas terhadap diri sendiri apabila menghantuk kepala ke meja dan kerusi, menendang dinding dan meniarap di lantai.
Selain itu, dia juga suka menjerit, membaling objek ke arah rakan, berdiri atas meja dan mengganggu rakan lain dengan mengoyakkan buku mereka.
Dilaporkan, Venables bersikap demikian akibat kehidupan keluarganya yang tidak tenteram.
Ibu dan bapanya, Susan dan Neil Venables pernah beberapa kali berpisah selain kerap bergaduh.
Ketika usia Venables tujuh tahun, dia menunjukkan sikap tidak suka bergaul, menjadi mangsa buli dan kerap bertukar sekolah akibat persengketaan ibu dan bapanya.
Begitupun, dalam kes Bulger, ada laporan menyatakan pengaruh filem ‘Child’s Play 3’ mempengaruhi tindakannya. Dalam filem itu, ada patung bernama ‘Chucky’ yang mempunyai kuasa jahat melakukan pembunuhan bersiri dengan menyembelih mangsanya.
Patung itu digambarkan sebagai watak jahat yang berjaya dihapuskan wira pada penghujungnya. Mungkin Bulger dianggap sebagai watak jahat dalam cerita itu yang perlu dihapuskan.
Seperti Venables, Thompson juga melalui episod hitam dalam hidupnya. Kanak-kanak itu didakwa menjadi mangsa dera abangnya sejak kecil sehingga melakukan perkara sama ke atas adiknya.
Selain itu, Thompson juga sering mengajak adiknya ponteng sekolah dan bersiar-siar di bandar.
Apabila bersama Venables dan adiknya, Thompson berlagak kuat dan seperti orang dewasa atau matang dalam semua aspek.
Namun, sifat kebudak-budakannya tidak dapat dielakkan apabila dia gemar bermain anak patung, bergaul dengan budak perempuan dan menghisap jari.
Polis yang menjalankan siasatan dalam kes Bulger mengesan pembunuh melalui rakaman CCTV terbabit. Senarai pelajar sekolah yang ponteng pada hari kejadian turut diperiksa selain pihak berkuasa mendapat kerjasama daripada ibu bapa.
Seorang budak lelaki yang mirip seperti kanak-kanak dalam CCTV terbabit ditahan bagi membantu siasatan. Meskipun tiada bukti kukuh mengaitkannya, namun rumah keluarga budak itu menjadi sasaran orang ramai yang geram dan marah dengan kejadian menimpa Bulger sehingga keluarganya terpaksa berpindah.
Bagaimanapun, jiran keluarga Venables tampil memberi maklumat apabila mengesyaki anak jirannya ponteng sekolah pada hari dimaksudkan. Polis yang menjalankan siasatan berjaya menemui bukti seperti pakaian Venables yang ada kesan cat biru selain kesan darah pada kasut.
Pada 18 Februari 1993, Venables dan Thompson ditahan dan berita itu menggemparkan England apabila kanak-kanak berusia 10 tahun disyaki terbabit dalam pembunuhan kejam dan mengerikan.
Venables mengaku mereka membunuh Bulger, namun tidak memberitahu punca kedua-duanya bertindak demikian.
Berdasarkan bukti, mereka dibicarakan dan pada 24 November 1993, hakim menjatuhkan hukuman dengan mengarahkan kedua-duanya menjalani proses pemulihan selama 10 tahun sehingga disahkan pulih untuk kembali kepada masyarakat.
Pada masa sama, keluarga Bulger mendapatkan sokongan orang ramai supaya pembunuh anaknya dikenakan hukuman penjara seumur hidup
0 comments:
Post a Comment